Friday, February 13, 2009

Selamat Hari Kekasih (14 Februari 2009 )

Buat semua pasangan yang ingin menyambut hari kekasih ini, selamat menyambut tetapi jangan sampai lupa pada agama kita. Bagi yang sudah berkeluarga, tidak salah pada pandangan saya menyambut hari kekasih ini sebagai satu hari untuk meraikan orang yang kita sayang dan mengingatkan kita yang kita sangat sayang pada pasangan kita bagi yang sudah berkahwin. Bagi anak-anak pula, tidak salah menyambut hari kekasih ini sebagai satu cara dia ingat akan kedua ibubapanya yang disayangi.

Buat suamiku yang tersayang, I LOVE YOU so much. Terima kasih kerana masih sudi hidup bersamaku hingga kini telah berusia 6 tahun kita berkahwin dan dan lebih 10 tahun kita mengenali hati budi masing-masing. Selamat menyambut Hari Kekasih esok sayang, walaupun balik ke Kuala Lumpur tengah malam esok. mama akan jemput kat Kl Sentral nanti. tunggu ye.... Ada hadiah untuk kitaorang tak???

sidphaze Katak Bawah Tempurung (19/12/2008)

Terima kasih saudara/saudari sidphaze kerana memberikan pandangan dari sudut pemikiran dan mata saudara/saudari. Saya berbesar hati kerana sudi menjengah blog saya yang tidak seberapa ini. Saya cuba beberapa kali untuk reply komen yang saudara/saudari tahun lepas (2008). Namun tidak berjaya.

Sememangnya, saya dan suami telah meneliti terlebih dahulu latar belakang sesebuah tadika sebelum menghantar anak kesayangan kami. Bukan setakat harga yuran yang ditetapkan, suasana persekitaran tetapi silibus dalam pelajaran yang diajar kepada pelajarnya adalah yang lebih penting. Kemudian baru fikiran cara komunikasi berbahasa yang penting dalam perkembangan pertuturan kanak-kanak itu sendiri.

Bukan kami tidak percaya dengan kebolehan tadika yang dikendalikan oleh kaum Melayu tetapi disebabkan pengalaman kami yang sudah semasa menghantar anak ke tadika Melayu membuatkan kami serik untuk menghantar anak ke sesebuah taska mahupun tadika. Tidak perlulah saya nyatakan apa yang menbuatkan kami serik. saya tidak mahu ada pihak-pihak tertentu berkecil hati atau salah faham dengan tulisan saya ini. Saudari/ saudara boleh berfikir sendiri dan ada membaca atau melihat di tv kes kecuaian yang dilakukan oleh beberapa tadika/taska yang dikendalikan oleh kaum Melayu. Tadika yang dikendalikan oleh kaum lain lebih menjaga kepentingan dan kepuasan pelanggan mereka namun, bagi kaum Melayu kebanyakannya hanya mementingan kuantiti dari kualiti malah tidak langsung menjaga kepuasan dan kepentingan pelanggan mereka. Cuba sesekali saudara/saudari membuat beberapa kajian berkaitan isu yang diutarakan oleh saudari/saudara itu. Bukan setakat 1 mahupun 2 tahun tetapi setiap hari dan berpanjangan setiap masa. Jangan hanya memberi pandangan berdasarkan pengalaman sendiri, tetapi cuba bertanya dengan keluarga, sanak-saudara, kawan-kawan mahupun jiran kita berkaitan isu tadika ini.Tidak kisahlah siapapun yang mengendalikan sesebuah institusi pengajian itu, tetapi macam yang saya terangkan di atas. Memilih berdasarkan silibus pengajarannya yang terbaik buat pendidikan awal kanak-kanak zaman kini. Bukannya pendidikan di zaman 90an ke atas. Sepatutnya para ibubapa mencari apa yang terbaik buat anak-anak mereka terutama dari segi pendidikan. Bukan setakat pembelajaran di rumah namun perlu jua bercampur dengan kaum lain untuk meningkatkan keyakinan diri berkomunikasi dengan kaum lain. Bukan hanya berkomunikasi sesama Melayu sahaja. Itu diibaratkan macam pepatah orang dulu "katak bawah tempurung". Kalau macam tu bila kaum kita hendak maju? Hanya mengharapkan subsidi dari kerajaan sahaja. Malas untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan hidup. Itu yang dikatakan bagus oleh kaum kita. Inilah masa untuk kita berubah pemikiran yang kuno. Orang berpolitik pun tahu bergaul berlainan bangsa dan agama.

Jadi saya tidak nampak apa maksud isu yang diutarakan oleh saudari/saudari itu. Melalui luahan hati saya tentang yuran sekolah tadika mahal adalah hak saya sebagai pengguna walaupun tidak boleh diketengahkan di dalam undang-undang di negara kita. Mungkin ada peruntukan undung-undang tersebut, mungkin jua saya terlepas pandang. Melalui blog inilah saya meluahkan rasa ketidakpuasan hati dalam kehidupan sebagai satu cara meringankan kekecewaan ini. Bukan untuk mengutuk sesiapa tetapi saya menganggap, blog ini sebagai diari saya dan juga untuk sesiapa yang mengenali saya. Itu aja...Kalau ada sebarang penulisan saya yang sudah menyinggung saudari/saudara saya memohon maaf kerana ini hanyalah luahan dan pengalaman yang telah saya alami buat setakat ini dalam hidup saya. Pengalaman saya dengan pengalaman saudari/saudara teramatlah berbeza. Kerana kita berlainan kawasan dan saya tidak mengenali saudari/saudara sepenuhnya. Tetapi saya mengalu-alukan nasihat dan pandangan saudari/saudara itu.

Berbalik kepada pandangan lain yang saudari/saudara berikan. saya tidak nampak rasional kepada pengajaran bahasa inggeris di rumah oleh para ibubapa itu sendiri. Ini kerana, bahasa inggeris sendiri amat mementingkan penggunaan grammar (tatabahasa) dan sebutan yang betul dalam penggunaan bahasa itu sendiri. Saya sendiri tidak berapa mahir dalam bidang ini. Saudari/saudara? Mungkin jua saudari/saudara berkebolehan, sepatutnya bersyukur dengan kebolehan itu. Kenapa tidak dibuka sahaja tadika dan dikendalikan sendiri oleh pihak saudari/saudara? Kita sendiri pun kadang-kadang tidak tahu samada grammar dan sebutan kita betul. Kalau salah kita mengajar anak, salah jualah yang di bawanya sampai dewasa. Itu yang saya dan suami tidak mahu dalam pembelajaran anak kami. Sepatutnya kita sayang dengan anak-anak kita, bukan main letak aje kat taska/tadika/sekolah supaya kita boleh bekerja dengan hati yang senang. Duit yang sudah di bayar walaupun murah mahupun mahal bergantung kepada kemampuan masing-masing bukannya dijadikan satu alasan jika perkhidmatan yang diberikan oleh sesebuah taska/tadika/sekolah itu tidak memadai dengan harga yang kita bayar. Fikirlah sendiri...Kita mesti bijaksana dalam peranan sebagai ibubapa bukan setakat pandai cari duit tetapi mahir dalam urusan pengendalian anak-anak itu sendiri. Nama pun RUMAHTANGGA macam-macam tanggungjawab yang perlu kita pikul.

Janganlah hanya tahu mengkritik tanpa sebarang usul periksa. Kaji dahulu satu persatu, benarkah apa yang saya luahkan itu benar. Itu sebabnya saya nyatakan tadi, buat sedikit sebanyak kajian mengenai isu ini. Bukan jadikan isu perkauman dalam pendidikan awal kanak-kanak. Itulah akibatnya jika terlampau banyak bergaul sesama kaum sejenis aje. minda tidak terbuka dengan luas. Hanya tahu jalan yang sempit, padahal banyak cara untuk mengatasinya. Saya sendiri masih berusaha dalam pergaulan seharian untuk mendapatkan cara berkomunikasi dengan betul dengan pelbagai kaum sebagai satu cara untuk memajukan diri. Bukan seperti katak bawah tempurung yang saya katakan tadi.

Untuk pengetahuan saudari/saudara..anak saya kini berusia 5 tahun sudah fasih berbahasa Inggeris dan pandai bergaul dengan rakan-rakannya yang berlainan kaum. Ini adalah sebagai satu cara dan inisiatif mewujudkan kurang sikap perkauman di dalam diri anak kesayangan saya. Di mana-mana kita pergi mesti kita kena berkomunikasi dengan pelbagai kaum. Jadi saya tidak nampak apa kesalahan saya dalam memilih tadika yang dikendalikan oleh bukan kaum kita (Melayu). Itu bukan isunya. Pergilah keluar dari minda yang sempit itu, saudari/saudara akan faham apa yang dimaksudkan dalam penulisan ini. Tidak mustahil suatu hari nanti, anak saya akan mahir berbahasa lain tanpa perlu menghantarnya tuisyen belajar bahasa lain. Bukankah memilih pendidikan yang bersesuaian untuk anak-anak sendiri adalah merupakan satu pelaburan yang bagus. Biar rugi sekarang mendapat untung yang lebih dikemudian hari. saya dan suami tidak mahu melihat kanak-kanak pada zaman kini hanyalah sebagai pelapis kepada gejala yang tidak sihat dikalangan remaja dan belia kita pada hari ini. Saudari/saudara pun tidak mahu jugakan? Jadi bersamalah kita mengawasi anak-anak kita agar tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini. Secara tidak langsung kita membantu kerajaan kita dalam menangani masalah sosial dikalangan remaja dan belia ini. Betul kan???

Walaubagaimanapun, saya dan suami tidak sedikit pun tidak berkecil hati, cuma terperanjat!! Ada juga manusia yang menggelar namanya sidphaze tidak pandai menguruskan anak sendiri terutama dari segi penjagaan dan pendidikan anak. Asyik pakai letak je anak di tadika tertentu. Itupun mungkin disebabkan dekat dengan rumah atau tempat kerja. Untuk menjadi seorang ibubapa bukannya mudah. Jangan terlalu mengharap orang lain untuk menjaga dan mendidik anak sendiri. Kelebihan menjaga dan membesarkan anak sendiri adalah satu nikmat yang tuhan berikan pada semua umatNya, jangan hanya pandai mengkritik orang lain sedangkan diri sendiri belum tentu sempurna segala-galanya. Tuhan sentiasa adil dengan umatNya. Ada yang lebih ada juga yang kurang. Sepatutnya bersyukur aje dengan kelebihan yang kita ada bukannya wujud sifat perkauman seperti saudara/saudari sidphaze itu. Sifat sebegini adalah duri dalam daging bagi memajukan diri sendiri mahupun keluarga sendiri. Bersembunyi di sebalik nama samaran adalah bermaksud saudara/saudari adalah seorang pengecut kerana tidak berani untuk menonjolkan diri sendiri secara terbuka seperti yang saya lakukan dalam blog saya ini. Setakat tahu mengkritik tapi tidak tahu erti sebenar kepayahan dan kesusahan orang lain, saya fikir saudara/saudari adalah musuh dalam kaum Melayu itu sendiri.

Fikirlah sejenak bukan hanya beberapa saat berfikir sudah tahu apa yang hendak dikritik. Itu sebabnya orang Melayu seperti saudara/saudari susah untuk hidup lebih maju ke hadapan bukan setakat mencari kekayaan. Jika terlalu banyak menyakiti hati orang lain melalui kritikan saudara/saudari itu, saya fikir saya sudah tahu siapakah anda yang sebenarnya...... Semoga Allah mengampunkan saja dosa-dosa saudara/saudari itu. Itu saja yang perlu saya nyatakan di sini. Ingin saya beritahu, ruangan blog saya ini hanyalah sebagai diari rintihan hati saya yang gembira, sedih mahupun duka sepanjang menjadi insan di muka bumi ini. Bukankah kita hanya "Khalifah Allah Di Muka Bumi Ini". Carilah maksud yang tersirat disebalik ayat ini yang tuhan telah berikan di dalam Al Quran. Apa hukumnya jika menyakiti sesama manusia walaupun hanya dengan kata-kata..... Penulisan blog saya ini sebagai rujukan dan kenangan sahaja untuk saya dan suami dalam menempuh hidup dalam memainkan peranan sebagai ibu dan bapa kepada anak kesayangan kami.

Tidak sangka pula yang saudari/saudara berminat dengan ruangan blog saya ini. Terima kasih sahajalah...saya dan suami ucapkan. Lain kali baca sampai habis, fikir dulu banyak-banyak...tanya orang lain tentang isu, jangan pakai kritik aje.... Pengalaman anda sebenarnya masih kurang berbanding dengan saya dan suami. Jangan fikir orang yang masih muda seperti saya ini tiada pengalaman yang khusus. Terutama bila bercerita tentang pendidikan anak. Saya adalah ibu yang mempunyai pendidikan tinggi seperti anda, namun saya memilih sendiri untuk menjaga anak di samping menolong suami mencari rezeki..Setakat tahu mengkritik..semua orang boleh. Namun bagi saya itu hanyalah kerja yang buang masa berbanding orang yang sibuk memikirkan masa depan masing-masing. Bagaimana hendak menaikkan taraf hidup yang sekarang ke arah yang lebih selesa. harap anda faham kata-kata saya ini....

Rindu Suamiku Di Kota Kinabalu Sabah (11/02-14/02/2009)


Aku rasa rindu pulak dengan ketiadaan suami ku di sisi beberapa hari ini. Hari ini aje sudah 3 hari suami aku tiada di samping kerana terpaksa pergi outstation di Kota Kinabalu Sabah atas urusan kerjanya. Semakin hari semakin rindu tapi bila sentiasa bersama lain pulak ceritanya. Sebab dah selalu bersama susah mahupun senang. Kini buat sementara waktu suami ku tiada rasa sunyi di hati terusik dengan tiba-tiba. Apatah lagi jika anak aku bertanyakan di mana Papa? Ha...jawabnya kena la pakai telefon rumah call Papanya di Sabah. Macam-macam cerita yang diberitahu. Barulah aku faham sekarang kenapa satu pasangan yang telah berumahtangga perlu sekali-sekala berjauhan untuk menimbulkan perasaan rindu, sayang dan cinta yang lebih mendalam dengan pasangan masing-masing. Aku telah merasainya. Ianya merupakan satu perasaan yang unik apabila berjauhan sementara dengan pasangan. Agaknya memang lumrah sifat manusia yang sering jemu dengan apa yang dilihatnya hari-hari. Tapi bila dijauhkan buat sementara waktu ada hikmah rupanya di sebalik kejadian ini. Aku bersyukur kerana Tuhan tidak pernah menutup pintu kasih dan sayangku terhadap suamiku. Dahulu kami sering bergaduh, masing-masing belum mengenal hati budi di antara satu sama lain. Kini, semuanya berubah, kami belajar satu persatu walaupun perlahan, menghargai pengorbanan pasangan masing-masing. Mungkin ini jualah menyebabkan sesebuah ikatan perkahwinan itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Juga tidak dilupakan kejujuran dan kepercayaan penting dalam mengukuhkan lagi sesebuah perhubungan itu. Rasa tanggungjawab yang tinggi perlu ada dalam diri masing-agar sentiasa beringat dan waspada dalam menjalankan aktiviti seharian. Agama turut memainkan peranan yang penting dalam memberi panduan bagi pasangan yang telah berkahwin. Buat suami ku yang tersayang. Jagalah dirimu walupun di mana berada. Ingatlah Mama dan VV agar dapat memberi sumber inspirasi dalam hidupmu sentiasa. Sabar dan tenang dalam menghadapi apa jua dugaan dalam kerjaya kerana itu semua mengajar kita lebih bertanggungjawab dan matang dalam membuat sebarang keputusan yang betul dalam hidup kita. Sentiasa ingat dengan Tuhan dan redha dengan pemberianNYA...

Wednesday, February 4, 2009

Anakku Masuk Sekolah Tadika Baru

Baru-baru ni aku mengambil cuti 1 hari untuk menghantar anak aku ke sekolah tadikanya yang baru. Nama tadika tersebut Tadika Taman Madeleine di Jalan Othman 1/14, PJ Selangor. Aku hantar dia pada 2 Februari 2009 yang merupakan hari pertama dia di sekolah tadika tersebut. Sebelum ni, ada jugak aku mengusik dia, samada nak sekolah lama (Smart Reader Kids Pantai Hill Park, KL) atau yang baru? Katanya...nak sekolah baru sebab sekolah baru besar. Best!!Banyak kawan..asyik senyum je kalu ditanya banyak kali tentang sekolah barunya itu.

Namun, bila sampai hari pertama dia di sekolah tadika tersebut...Huh...macam biasalah budak-budak tetap akan menangis tapi tak la teruk sangat. Meleleh airmata tu ada la. Nak dijadikan cerita, anak aku ni mula-mula masa pergi daftar di sekolah tadika baru ni, gembira sakan sampai asyik menyanyi dan senyum memanjang aje sepanjang perjalanan di dalam kereta. Tapi, bila sampai kat dalam kelas dia (Kelas Biru Petang1) dia menangis tak nak duduk kat kerusi. Suami aku pujuk le dia. Aku pulak sibuk dok cari tempat nak parking kereta aku. Senang aje nak park sebab tak busy jalan raya kat sekolah baru anak aku ni. Lain la kat tempat lama. Jenuh cari parking. Silap-silap kena parking kat sebelah tanah perkuburan Islam yang ada berhampiran dengan Smart Reader Kids Pantai Hill Park tu.

Berbalik cite anak aku kat kelas dia. Aku datang kat kelas dia, aku tengok suami aku tengah pujuk. Lama jugak la dalam 5 minit. Lepas tu guru kelas dia datang kat kitaorang, kenalkan nama. Nama guru kelas anak aku ni KAVI (Indian) okey jugak. Cuma nampak macam muda sangat. Tak kisah asalkan anak aku mau sekolah dan dapat belajar pengetahuan yang terbaik kurasakan. Yelah kat sekolah ni ada belajar BM, BI, MAT, SAINS, KOMPUTER dan KREATIVITI. Banyak jugak pengisiannya. Aku dah tengok buku-buku anak tu. Ok jugak daripada sekolah lama yang pakai buku photostat aje. Yuran mahal gila! Tapi material pengajaran terutama buku, mmm...faham-faham sendiri la. Aku dah cite tadi. Korang pun boleh imaginasi. Lagi satu pelajaran Sains tak diterapkan semasa di sekolah lama. Tapi di sekolah baru ini. Aku semacam puas hati. Cuma pening kepala macamana nak pujuk anak aku supaya tak nangis masa hantar dia pergi sekolah. Dalam minggu ni saja 5 kali dah menangis setiap kali hantar ke sekolah . Tapi yang peliknya...anak aku tak la pulak nangis masa ambik dia habis sekolah. Mungkin dia terperanjat! Apa ke idaknya, kawan-kawan dan guru lama dah takde. Yang ada hanyalah muka-muka yang dia tak kenal lagi. Belum biasa la tu. Tapi, aku amat berharap yang anak aku akan berterima kasih dengan papa dan mama dia kerana menghantar dia ke sekolah tadika yang terbaik dari segi pengajaran pengetahuan pendidikan yang sempurna seakan-akan berada di sekolah rendah. Jadi ini boleh membantu anak aku sedikit sebanyak dalam menyesuaikan diri dengan suasana di sekolah rendah 2 tahun lagi. Memang saling tak tumpah suasana pembelajaran di sekolah tadika baru ini. Berbeza dengan sekolah lama yang kecil ruangnya dan para pelajarnya banyak berbangsa Melayu.

Di sekolah ini pelajarnya campur Melayu, Cina dan India. Jadi pemikiran anak aku akan lebih terbuka dan tiada sifat perkauman dalam diri dia. Itu yang aku mahukan di samping anak aku boleh berbahasa Inggeris dengan fasih sebab rakan-rakannya yang baru semuanya bertutur dalam bahasa Inggeris. Nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itukan pepatah orang tua-tua dulu dalam cara nak mendidik anak dengan betul. Sekarang ni, anak aku dah boleh terima perubahan yang ada sedikit demi sedikit. Mungkin lepas ini anak aku akan lebih maju lagi dalam pergaulannya dengan rakan-rakan sekolah yang lain. Dan menjadi anak yang solehah dan berjaya dalam sistem pendidikan sekarang dan akan datang. Semoga anak aku dapat mengatasi perasaan malunya sekarang. Amin....